Saturday, June 22, 2019

SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN


PENGERTIAN SOSIOLOGI 
Menurut Ottoway (1964) sosiologi adalah satu bidang sains kemasyarakatan. Sosiologi pendidikan ialah sains sosial yang menggunakan ilmu sosiologi untuk mengkaji bidang pendidikan dalam sesebuah masyarakat. Dalam erti kata lain, sosiologi pendidikan melihat pendidikan dari segi perspektif sosiologi.
PERKEMBANGAN ILMU SOSIOLOGI PENDIDIKAN 
  • Sebuah kajian saintifik mengenai  hubungan kemasyarakatan manusia dan tingkah laku sosial manusia dari pelbagai aspek.
  • Ilmu sosiologi bertujuan untuk menyelidik, memahami dan mengetahui struktur domain dalam masyarakat serta faktor yang dapat menyatukan atau melemahkan sesebuah kumpulan.
  • Bagi mempelajari  kehidupan masyarakat yang berubah akibat daripada pelbagai fenomena sosial.
  • Secara umum, sosiologi  meneliti pembentukan dan corak perhubungan sosial manusia secara berkelompok.
      Penyatuan antara sosiologi dan pendidikan melahirkan sosiologi pendidikan. Namun,  bidang ini berkembang secara berasingan iaitu para pendidik dan ahli sosiologi. Terdapat beberapa masalah yang timbul dalam usaha menetapkan sebuah identiti bagi disiplin sosiologi pendidikan. Antara ahli sosiologi yang banyak mempengaruhi sosiologi pendidikan ialah Auguste Comete, Emile Durheim, Herbert Spencer, Edward Ross, Charles Cooley, Albion Small dan Lester Ward jika dibandingkan dengan pengaruh para pendidik seperti Horace Mann, John Dewey dan Franklin Bobbit.
PERSPEKTIF TEORI SOSIOLOGI PENDIDIKAN 
Pendekatan kajian yang dipraktikkan dalam sosiologi pendidikan dapat dibahagi kepada dua bentuk iaitu pendekatan mikro dan pendekatan makro. Pendekatan makro amat berkait rapat dengan teori fungsionalisme dan teori konflik manakala pendekatan mikro melibatkan teori interaksionisme simbolik.
3 Teori Utama :   
  • Teori Fungsionalisme
  • Teori Konflik
  • Teori Interaksionisme Simbolik
TEORI FUNGSIONALISME                 
Menyatakan bahawa setiap ahli masyarakat dan institusi dalam sesebuah komuniti saling bergantung antara satu sama lain. Contohnya, pelajar di sekolah bergantung terhadap guru bagi memperolehi ilmu, guru pula bergantung kepada kurikulum yang mereka akan terapkan dalam proses mengajar. Pendekatan teori ini diibaratkan seperti setiap anggota badan manusia mempunyai peranan yang tersendiri dan setiap daripada anggota tersebut bergantung antara satu sama lain untuk berfungsi. Teori ini bertujuan untuk  melahirkan masyarakat yang harmoni agar dapat memastikan kestabilan negara.
TEORI KONFLIK 
Teori konflik ini melibatkan ketegangan yang berlaku antara individu dan kumpulan-kumpulan dalam sesebuah masyarakat bagi memperoleh kepentingan yang diingini. Max Weber adalah individu yang telah mengaitkan teori konflik dengan pendidikan. Beliau menegaskan bahawa fungsi utama sekolah ialah mendidik pelajar tentang status budaya. Penglibatan kuasa dan kepentingan mewujudkan konflik antara individu dan kumpulan maka mempengaruhi sistem pendidikan dalam masyarakat tersebut. Contohnya, para guru perlu melakukan tugas-tugas pentadbiran dan pada masa yang sama juga mesti melakukan tugas mengajar. Dari segi perspektif pelajar pula mereka perlu mendapatkan keputusan yang cemerlang  kerana tekanan oleh ibu bapa yang ingin melihat anak mereka berjaya. Oleh itu, timbullah konflik kerana anak tersebut perlu sering mengulang kaji pelajaran dan mengurangkan  sesi bermain.
TEORI INTERAKSIONISME SIMBOLIK 
Teori ini mengkritik teori fungsionalisme dan teori konflik yang terlalu bergantung kepada manusia secara keseluruhan dan didasari oleh sistem sosial. Teori interaksionisme beranggapan bahawa manusia bukanlah makhluk yang pasif dan memerlukan interaksi sosial untuk membentuk sebuah realiti. Teori ini berfokuskan penelitian  makna-makna yang dibentuk oleh masyarakat seperti antara guru dan pelajar. Contohnya, membuat kajian bagaimana  pelajar  mempunyai perangai yang tidak baik di sekolah dengan membuat penelitian terhadap cara mereka berinteraksi dengan guru.
TOKOH-TOKOH SOSIOLOGI PENDIDIKAN 
IBNU KHALDUN  :  
Ibnu Khaldun telah mewujudkan pemikiran yang baru iaitu sistem sosial manusia yang boleh berlaku perubahan mengikut beberapa faktor seperti kemampuan pola pemikiran manusia, pengaruh iklim, makanan, emosi serta jiwa individu tersebut. Di samping itu, beliau menyatakan bahawa pola pemikiran manusia berkembang mengikut tahap iaitu bermula dengan tahap primitif, pemilikan, peradaban, kemakmuran dan kemunduran.
AUGUSTE COMTE :
Beliau telah menyebarkan pandangan ilmiahnya  melalui positivisme atau dikenali  sebagai filsafat sosial sebagai usaha untuk mengekang pemikiran negatif. Amalan positivisme mengamalkan teori-teori ilmiah tentang masyarakat melalui pengamatan dan percubaan. Kemudiannya,  didemonstrasikan dalam bentuk hukum-hukum perkembangan sosial. Aliran positivisme percaya bahawa kesatuan metode ilmiah mampu mengukur secara objektif mengenai struktur sosial. Beliau juga percaya apabila sesebuah masyarakat itu difahami , kehidupan sosial yang lebih baik dapat diperolehi. Perkara ini didasari dengan gagasan mengenai Teori Tiga Tahap Perkembangan Masyarakat. Antaranya ialah masyarakat berkembang secara evolusi dari tahap teologis (percaya terhadap kekuatan dewa), melalui tahap metafizik (percaya terhadap kekuatan abstrak) dan tahap positivistik (percaya terhadap ilmu sains).
KARL MARX :
Pendekatan sosiologi Karl Marx membuat kesimpulan mengenai idea pembaharuan sosial yang telah dibuktikan pada abad ini seperti sesebuah masyarakat dibangunkan dengan dasar konflik. Bahkan juga, masyarakat dianggap sebagai faktor dominan dalam membangunkan ekonomi. Ekonomi merupakan penggerak dasar bagi segala perubahan sosial. Selain itu, perkembangan dan perubahan sejarah yang berlaku selama ini tidak terjadi secara tiba-tiba tetapi atas hubungan manusia dengan faktor ekonomi. Beliau juga beranggapan bahawa seseorang individu tersebut sememangnya dibentuk oleh masyarakat namun masyarakat itu sendiri mampu berubah melalui tindakan rasional yang didiasari ilmiah.
EMILE DURKHEIM :
Melihat sosiologi dalam 2 perihal iaitu fakta sosial dan Solidaritis sosial (mekanis dan organik). Keseluruhan masyarakat merupakan sumber untuk menentukan kejayaan bagi lembaga pendidikan. Pendidikan merupakan hak umum dan berfungsi sebagai titik tolak bagi golongan yang kurang berkemampuan untuk mengubah taraf hidup kepada yang lebih baik. Pendidikan dijadikan sebagai medium untuk kesedaran moral dan sosial serta sebagai panduan yang stabil, disiplin utuh dan bermakna.
MAX WEBER :
Teori Max Weber menekankan agama sebagai faktor untuk sesebuah masyarakat itu berkembang menuju kapitalisme. Hal ini kerana, agama ialah agen utama dalam mengubah sesuatu. Pandangan lain beliau adalah mengenai perilaku individu yang mampu mempengaruhi masyarakat secara berkesan dan perkara ini dinamakan sebagai tindakan sosial. Menurut beliau, tindakan sosial dapat diadaptasikan apabila idea, niat, nilai dan kepercayaan difahami serta menganggapnya sebagai sebuah bentuk motivasi sosial.
GEORGE HERBERT MEAD :
Merupakan tokoh penggerak bagi teori interaksionisme simbolik yang menggunakan gambaran pembentukan atau pertumbuhan diri manusia. Menurutnya, tahap sosialisasi mempunyai 3 tahap iaitu tahap bermain (play stage), tahap permainan (game stage) dan tahap pengambilan peranan individu lain (taking the role of other). Belia menyatakan bahawa interaksi manusia dengan alam sekeliling tidak berlaku secara langsung. Sebaliknya, manusia berinteraksi denga kejadian yang memberi makna mahupun benda yang berada di persekitaran mereka.
_KONSEP SOSIALISASI_
Terdapat beberapa tokoh yang menjelaskan mengenai maksud sosialisasi. Antaranya ialah :
  • Charlotte Buhler
Sosialisasi adalah proses yang membantu individu belajar dan menyesuaikan diri, bagaimana cara hidup dan berfikir agar dapat berfungsi dalam kelompoknya sendiri.
  • Bruce J. Cohen 
Sosialisasi adalah proses-proses manusia mempelajari tata cara kehidupan dalam masyarakat untuk memperoleh keperibadian dan membangunkan masyarakat agar berfungsi dengan baik sebagai individu mahupun sebagai anggota sesuatu kelompok.
  • Peter Berger
Sosialisasi adalah suatu proses di mana seorang kanak-kanak yang belajar sehingga menjadi anggota yang mampu menyumbang dalam sesebuah masyarakat.
_PENGERTIAN SOSIALISASI_   
Sosialisasi merupakan suatu proses belajar yang berlangsung sepanjang hidup manusia sejak individu dilahirkan sehingga tua yang memainkan peranannya dengan berfungsi secara kelompok.
Manusia tidak dapat hidup secara sendiri dan setiap individu mempunyai perbezaan yang tersendiri maka sosialisasi wujud untuk menimbulkan unsur kerukunan, persatuan dan hidup saling menghargai.
_TUJUAN SOSIALISASI_
  1. Memberikan keterampilan dan pengetahuan kepada seseorang untuk hidup secara bermasyarakat.
  2. Mengembangkan kemampuan seseorang untuk berkomunikasi  lebih efektif dan efisien.
  3. Menanam nilai-nilai dan kepercayaan kepada seseorang yang mempunyai tugas yang tersendiri dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment